Wednesday, June 25, 2008

Perwakilan pelajar MMU anjur malam anugerah 2008

ARKIB : 24/06/2008

MELAKA 23 Jun - Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) Universiti Multimedia (MMU) akan menganjurkan program Malam Anugerah MMU 2008 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini pada 5 Julai depan.

Pengarah program, Nurul Aizam Zaini berkata, program yang bertemakan Differences in Costumes, One in Tradition itu dianjurkan bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar MMU.

Menurutnya, program tersebut adalah yang julung kali diadakan di Kampus Melaka dan merupakan kali ketiga anjuran MMU.

''Program ini bertujuan memberi penghargaan dan mengiktiraf kelab-kelab serta persatuan untuk kedua-dua kampus induk MMU iaitu kampus Melaka dan Cyberjaya,'' katanya di sini semalam.

Menurut Nurul Aizam, pengiktirafan itu sebagai menghargai usaha dan komitmen mereka yang berjaya menganjurkan program dan menaikkan nama MMU di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, selain mengiktiraf kelab dan persatuan, acara itu turut diadakan bagi merai dan memberi anugerah kepada individu yang cemerlang dalam bidang akademik atau kokurikulum.

Usaha itu, katanya, bertujuan meningkatkan kreativiti pelajar dalam berpersatuan dan diharap menjadi contoh kepada institusi pengajian tinggi lain.

''Kita mahu meningkatkan semangat pelajar agar mereka terlibat secara aktif dalam persatuan dan membantu membina karakter diri masing-masing menerusi kegiatan kokurikulum," katanya.

Katanya, antara anugerah utama yang disediakan ialah anugerah kelab dan persatuan terbaik, individu terbaik, anugerah khas dan anugerah pengurusan kelab terbaik.

''Secara keseluruhannya, kita menyediakan 44 anugerah yang akan disampaikan pada malam tersebut," katanya.

No comments: